Wednesday, March 31, 2010

Cair dibawah Mentari

ting ting... ting ting... ting ting...

Itulah bunyi yang kedengaran pada tepat jam 12.00 tengah hari. Cuaca yang begitu panas & sinar serta silauan matahari yang agak terik itu.

Pasti ku dapat mengaut untung sedikit hari ini,memandangkan cuaca begitu panas”, bisikan hati seorang penjaja aiskrim.

Sememangnya aiskrim merupakan penghibur hati terbaik di kala waktu panas. Apatah lagi, pelanggan yang disasarkan adalah murid-murid yang masih di bangku sekolah. Namun kerisauan tetap berpaut di hati, merisaukan aiskrim yang dibawanya akan cair dibawah mentari yang bersinar terang. Dia hanya berharap agar pada hari itu, keuntungan akan lebih baik, walaupun hanyalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah lumrah hidup baginya.

Namun dia hanya mampu bersabar dan menanti waktu persekolahan sesi pagi tamat pada jam 12.30 tengah hari dan pada ketika itu rezekinya bakal menjelma. Tatkala menunggu di tepi pagar sekolah, kedengaran budak-budak sekolah sesi petang yang sedang leka bermain berteriak Jangan beli ! Jangan beli !”. Pasti hatinya terguris sedikit. Namun, dia tetap berharap agar ada insan yang sanggup membeli.

Sememangnya guru sekolah ada mengingatkan murid-murid supaya berhati-hati ketika membeli makanan, terlebih lagi makanan yang kurang menjamin kebersihannya.

Beberapa saat kemudian, tiga orang budak muncul untuk memberi harapan kepada bisnes kecilannya itu. Satu senyuman harapan terlukis pada wajahnya. Kemudian, dia mengalihkan basikalnya ke sebuah perhentian bas sekolah. Mengetahui bahawa bakal ramai murid yang akan menanti untuk pulang di situ nanti.

Krriingggggg….

Loceng sekolah berbunyi menandakan tamat waktu persekolahan sesi pagi. Murid-murid mula berlari keluar dari kawasan sekolah untuk menunggu kenderaan masing-masing.

Seperti jangkaannya, ramai murid yang mula berkerumun di perhentian bas sekolah itu. Kehadirannya telah menarik perhatian murid-murid yang singgah di sana. Tanpa melengahkan masa, dia mula melayan budak-budak yang akan menolong mengisi poketnya pada hari itu. Dengan hati yang riang, dia mengisi aiskrim pada kon.

Walaupun tidak banyak perisa yang ditawarkan, tetapi mereka tetap ingin menjilat aiskrim sejuk yang kelihatan sedap itu tanpa menghiraukan kebersihannya.

Keadaan ini amat menggembirakan kedua-dua belah pihak. Selepas budak-budak mula menlenyapkan diri, penjual aiskrim ini pun terus mengorak langkah untuk menuju ke destinasi lain tanpa mengetahui nasibnya pada hari esok dan seterusnya..